KORAT - Jepun meranapkan impian Malaysia untuk merangkul pingat emas  pertama pada hari pembukaan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 di  Velodrom Kompleks Sukan Korat, semalam.
Tampil dalam acara final pecut berpasukan lelaki, skuad junior negara  yang dibarisi Mohd. Arfy Qhairant Amran, Hamdan Hamidun dan Muhammad  Fauzan Nor Azman sekadar mampu membawa pulang pingat perak selepas  dikecewakan trio Jepun, Koji Tanaka, Kyohei Shinzan dan Kenta Nagao.  Barisan pelumba muda negara mencatatkan masa 1 minit 05.569 saat  manakala trio Jepun nyata terlalu unggul apabila merekodkan 1:04.585s. 
Dalam saingan penentuan tempat ketiga dan keempat, trio Iran yang  mencatat masa 1:06.165s lebih layak merangkul pingat gangsa selepas  mengetepikan cabaran trio Korea Selatan (1:06.282s).
Sekalipun meraih pingat perak, jurulatih skuad junior negara, Suod  Hussain tetap melahirkan rasa puas hati dan bangga dengan prestasi yang  ditunjukkan oleh anak-anak buahnya itu.
"Kejayaan memenangi pingat perak dalam acara pecut berpasukan ini  sudah dikira baik. Kita semua sudah ketahui betapa Jepun merupakan  pilihan untuk memenangi acara ini. 
"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada barisan pelumba muda negara  kita yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam acara final  tadi (semalam).
"Dalam acara ini, saya meletakkan dua muka lama iaitu Arfy dan Hamdan  manakala Fauzan adalah pelumba baru. Bagaimanapun, ketiga-tiga pelumba  telah membuktikan kepada saya bahawa mereka mampu melakar kejayaan  walaupun persiapan bagi menghadapi ACC 2011 agak singkat," jelas Suod  ketika ditemui semalam.
Pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), trio negara  sekadar mampu menduduki tempat keempat selepas kecundang di tangan  Jepun. China dan Korea Selatan pula masing-masing menyambar pingat emas  dan gangsa.
"Biarpun pingat perak, setidak-tidaknya kita sudah berjaya  memperbaiki pencapaian pada ACC tahun lalu. Ini juga satu petanda bahawa  trio pecut junior negara sudah berada di landasan yang betul untuk  mencapai kejayaan lebih cemerlang pada kejohanan akan datang," tambah  Suod.
Terdahulu, skuad junior negara memulakan misi mereka dengan langkah  bergaya apabila Arfy menyumbang pingat perak acara 1km ujian masa.  Selain Arfy, pelumba wanita, Jupha Somnet turut cemerlang apabila muncul  sebagai pelumba pertama negara menyumbang pingat selepas meraih perak  acara 500m ujian masa.
"Secara peribadi, saya lihat Arfy dan Jupha masih belum 'panas'.  Mungkin ini hari pertama, jadi mereka masih belum mendapat mutu kayuhan  yang sebenar. Saya percaya mereka mampu melakukan aksi dengan lebih baik  dalam acara seterusnya," jelas Suod.
Dengan tiga pingat perak berjaya diraih skuad junior pada hari  pertama ACC 2011 semalam, Suod menambah: "Memang kita telah meletakkan  sasaran untuk meraih pingat, tidak kira warna. Saya berharap dengan  kutipan tiga pingat perak pada hari pertama akan memberi peransang dan  motivasi tambahan kepada pelumba-pelumba junior negara untuk terus  memburu pingat.
"Masih banyak lagi pingat yang ditawarkan dan inilah masanya untuk  kita memperbaiki pencapaian ACC tahun lalu. Jika tiada sebarang masalah,  saya tetap yakin kita mampu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang  satu pingat emas," katanya.
sumber: kosmo 
Home »
Kejohanan Lumba Basikal Asia(ACC)
 , 
Luar negara
 , 
Sukan dalam Negara
 » Emas | Jepun jadi penghalang pertama
Emas | Jepun jadi penghalang pertama
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">
Related posts:
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 

0 ulasan:
Post a Comment