Berita Sukan Terkini

12 January 2012

Karim letak jawatan

TIMBALAN Presiden, Karim Ibrahim meletak jawatan selaku Pengerusi Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkuat kuasa serta-merta kelmarin.
Karim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi hambar barisan atlet olahraga negara pada temasya Sukan SEA di Palembang, Indonesia pada November tahun lalu.
“Sebelum Sukan SEA 2011 lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini (meletak jawatan).
“Jika atlet-atlet olahraga negara gagal membawa pulang lebih banyak pingat emas berbanding Sukan SEA di Laos pada 2009, saya akan meletak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas KOM di Bukit Jalil malam kelmarin.

Dengan kekosongan kerusi yang di tinggalkan Karim itu, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mengambil alih jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Sebagai rekod, atlet olahraga negara hanya mampu membawa pulang enam pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia tahun lalu.
KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana atlet yang berada di bawah naungan mereka yang didapati terlibat dengan penggunaan dadah.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hukuman berat akan dikenakan ke atas atlet yang terbabit seandainya didapati benar-benar bersalah.
“Kami (KOM) tidak akan bertolak ansur berhubung penggunaan bahan terlarang (dadah) dalam kalangan atlet.
“Namun, hukuman hanya dijatuhkan sekiranya laporan penuh telah diperoleh dan atlet yang terlibat benar-banar didapati bersalah,” kata Shahidan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas KOM di Bukit Jalil malam kelmarin.
Kenyataan yang dikeluarkan Shahidan itu adalah bagi mengulas isu doping yang membabitkan seorang atlet olahraga negara pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu.
Hasil ujian pertama (sampel A) yang dijalankan, atlet yang sehingga kini masih belum didedahkan namanya itu telah didapati positif menggunakan bahan terlarang.
Bagaimanapun, atlet terbabit hanya akan didapati benar-benar bersalah selepas keputusan ujian sampel B dikeluarkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Shahidan yang diminta mengulas lanjut berhubung kontroversi terbaharu yang melanda KOM itu tetap dengan pendiriannya sebelum ini tidak akan mengeluarkan sebarang komen selagi keputusan sampel B tidak diperoleh.
“Kami akan mengikut peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak akan menjatuhkan apa-apa hukuman selagi keputusan sampel B belum diketahui.
“Nama atlet terbabit juga tidak akan didedahkan sehingga dia benar-benar didapati bersalah. Apa yang saya boleh katakan kami menunggu keputusan sampel B itu,” jelas Shahidan.
Ditanya sama ada KOM telah mula menjalankan siasatan ke atas atlet terbabit, Shahidan menjawab: “Tidak ada sebarang siasatan dijalankan.
“Siasatan hanya akan dijalankan selepas keputusan sampel B diketahui. Ketika itu nanti, kita akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan.
“Jawatankuasa khas itu akan terdiri daripada pihak bebas iaitu (KOM, MSN (Majlis Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara).”

Sumber Kosmo

0 ulasan:

Post a Comment