KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Badminton (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh menjelaskan beliau membenarkan krisis melibatkan Datuk Misbun Sidek berlarutan, kerana isu jurulatih perseorangan kebangsaan itu adalah 'kes istimewa' yang tidak boleh dilayani seperti kes biasa.
Katanya, Misbun merupakan seorang personaliti besar dalam sukan tanah air, manakala anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei pula pemain No. 1 dunia, sebab itulah beliau memberi tempoh yang lebih panjang bagi mencari penyelesaian.
Krisis Misbun sudah berlarutan lebih tiga bulan sejak jurulatih itu meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu atas alasan peribadi, dan dalam tempoh berkenaan juga Chong Wei sudah menyertai empat kejohanan antarabangsa, menang tiga daripadanya, terbaru mempertahankan kejuaraan All England.
Pelbagai usaha telah dilakukan BAM untuk memujuk jurulatih itu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, termasuk menyuarakan kesediaan untuk berkompromi dalam beberapa isu yang dianggap sebagai punca kepada tindakan mengejut Misbun.
Hasil daripada beberapa pertemuan yang diatur, baik Nadzmi mahupun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat ada petanda positif bahawa krisis akan selesai dengan baik, namun malangnya sehingga hari ini ia masih tiada kesudahan dan Chong Wei dibiarkan dalam kebingungan mengenai status jurulatihnya itu.
Nadzmi ketika ditanya, sampai bila beliau sedia memberi tempoh kepada Misbun untuk keluar daripada sikap membisu, yang bukan saja membingungkan BAM, malah Chong Wei sendiri, beliau menjelaskan: "Saya akan berjumpa Misbun, Chong Wei dan (Tey) Seu Bock dalam masa terdekat sebelum mengambil tindakan. Apa yang saja akan dilakukan, ia harus memikirkan kepentingan Chong Wei."
Ketika ditanya, adakah krisis yang berlarutan terlalu lama akan memberi kesan buruk kepada Chong Wei, yang tidak mempunyai banyak masa untuk menyiapkan diri menghadapi Kejohanan Dunia (8-14 Ogos) dan Sukan Olimpik London 2012, Nadzmi tidak menolak, pada akhirnya BAM akan menerima juga peletakan jawatan jurulatih itu, andai ia masih tidak berkesudahan.
"Saya tidak akan membawa isu Misbun dalam mesyuarat majlis (1 April depan) sebab mereka telah memberi mandat kepada saya untuk membuat keputusan. Saya memutuskan untuk memberi ruang dan masa yang lebih panjang kepada Misbun untuk berfikir kerana beliau adalah personaliti besar dan kita kena ambil pendekatan yang teliti.
"Bagaimanapun saya akui, andai perkara ini meleret terlalu lama, pilihan yang ada hanyalah menerima perletakan jawatan Misbun dan semua akan selesai. Ketika ini, Chong Wei juga nampak selesa dengan Seu Bock dan itu adalah petanda baik bahawa kami mempunyai opsyen lain jika tidak jumpa penyelesaian,'' ujar Nadzmi.
Bagaimanapun tegas Nadzmi, beliau lega kerana Chong Wei tidak membenarkan dirinya terperangkap dalam krisis yang melanda Misbun dan BAM, sebaliknya memuji jaguh perseorangan negara itu yang bersikap amat profesional dengan meletakkan karier sebagai segala-galanya.
Katanya, Chong Wei menunjukkan satu persembahan terpuji ketika menumpaskan Lin Dan 21-17, 21-17 pada perlawanan akhir All England dan memberi keyakinan kepada Malaysia bahawa misi untuk mencari emas Sukan Olimpik 2012 mampu direalisasikan.
"Chong Wei seorang yang profesional, dia amat komited dengan kariernya dan berusaha keras untuk mencari kejayaan. Dia tidak membiarkan masalah di sekeliling menganggu fokusnya, sebaliknya hanya memikirkan untuk mencari kemenangan.
"Saya percaya, kemenangan ke atas Lin Dan menguatkan lagi keyakinannya untuk mencari kemenangan lebih besar seperti kejuaraan dunia dan Olimpik. BAM akan cuba membantu apa saja yang terdaya untuk memastikan Chong Wei dapat merealisasikan impiannya, yang juga impian kami dan seluruh rakyat Malaysia,'' kata Nadzmi lagi.
sumber Utusan Malaysia Online
Isu Jurulatih Perseorangan Negara "kes istimewa"
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">
Related posts:
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment