Home » , , , , » Chong Wei Kecewa, Lin Dan Rangkul Gelaran Dunia Kali Keempat

Chong Wei Kecewa, Lin Dan Rangkul Gelaran Dunia Kali Keempat

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Hajat merangkul gelaran juara dunia tidak kesampaian bagi pemain perseorangan badminton lelaki negara Datuk Lee Chong Wei.

Pilihan utama kejohanan itu tewas pada musuh tradisinya, Lin Dan dari China, 22-20, 14-21 dan 21-23 pada pusingan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Arena Tertutup Wembley, London Ahad malam.

Chong Wei bermula baik pada set pertama meskipun ditentang hebat Lin Dan, yang cenderung mengajak beliau bermain di jaring.

Dalam satu rali panjang ketika kedudukan terikat 14-14, Chong Wei menampilkan kemahiran menarik apabila mampu membalas pukulan walaupun diasak bertalu-talu oleh Lin Dan.

Kesilapan Lin Dan pada minit terakhir set pertama memberi mata mudah kepada Chong Wei, yang menamatkan set tersebut 22-20 dengan pukulan kencang ke penjuru gelanggang.

Pada set kedua, kealpaan Chong Wei membiarkan beberapa hantaran yang disangka keluar gelanggang, memberi peluang kepada wira China itu bangkit dan menjarakkan kedudukan.

Lin Dan akhirnya berjaya mengheret permainan ke set penentuan setelah menang set kedua 21-14.

Pada set ketiga, kedua-dua pemain mempamerkan aksi cemerlang dan perlawanan berlangsung dalam keadaan sengit sehingga ke penghujung.

Meskipun Chong Wei dua kali berada pada kedudukan 'game point' iaitu 20-19, 21-20, nasib tidak menyebelahi anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Kejuaraan menjadi milik Lin Dan yang mencipta mata kemenangan 23-21 dengan pukulan kencang ke tengah gelanggang.

Ini merupakan kali keempat Lin Dan meraih gelaran juara dunia.

Sementara itu, kekecewaan jelas terpancar di wajah Chong Wei yang gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk mencipta sejarah sebagai pemain badminton negara pertama mengungguli kejohanan tersebut.

Kali terakhir pemain Malaysia layak ke perlawanan akhir perseorangan lelaki adalah pada 2003, menerusi Wong Choong Han.

Perlawanan antara Chong Wei dan Lin Dan mendapat sokongan padu rakyat Malaysia di London, serta ditonton jutaan peminat di tanah air.

Turut kelihatan di kalangan penonton di Arena Wembley adalah mangsa rusuhan di London, Muhammad Ashraf Haziq Rossli.

-- BERNAMA
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">

0 ulasan:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:

Post a Comment

Harian Metro: Arena

Kosmo Online - Sukan

Berita Sukan Online Terkini

 
Copyright © 2011. Berita Sukan Terkini . All Rights Reserved.
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Template modify by Creating Website