Home » , , , » Sukan Asia 2010 di Guangzhou | 9 pingat emas jadi sasaran Negara

Sukan Asia 2010 di Guangzhou | 9 pingat emas jadi sasaran Negara

Photo credit to kosmo
MESKIPUN hanya sembilan pingat emas yang disasarkan, namun keyakinan untuk melakukan kejutan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China tetap cerah.
Itu kesimpulan terhadap komen Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengenai prospek negara mengulangi kejutan seperti mana yang dilakarkan pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi baru-baru ini.
Menurut Zolkples, biarpun cabaran dalam Sukan Asia lebih tinggi berbanding temasya Komanwel, namun beliau yakin, selagi atlet yang diramalkan memenangi emas berjaya menepati sasaran tersebut, Malaysia ada kemampuan membawa pulang lebih daripada jumlah yang disasarkan.

“Sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia ini masih di landasan yang betul. Malah, ia juga satu misi untuk mengatasi pencapaian kita mengutip lapan emas ketika di Doha empat tahun lalu,” kata Zolkples selepas merasmikan Perhimpunan Atlet Fasa Akhir ke Sukan Asia 2010 di Bukit Jalil semalam.
“Kita ada beberapa acara yang hampir pasti dan berpotensi memenangi emas seperti skuasy, basikal (trek), boling, wusyu dan mungkin juga badminton.
“Jadi, jika semua sasaran ini direalisasikan, saya harap acara-acara seperti terjun, ekuestrian, pelayaran, gimrama, hoki, memanah, menembak, olahraga dan juga sepak takraw dapat mencipta kejutan menghadiahkan emas,” ujarnya lagi.
Pada temasya yang bakal berlangsung di Guangzhou pada 12 hingga 27 November ini, Malaysia menghantar kontinjen terbesar iaitu seramai 339 atlet dengan menyertai 29 daripada 42 acara yang dipertandingkan.
“Kali ini kita menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan Asia kerana banyak acara berpasukan yang kita sertai, termasuk acara baru seperti kriket lelaki dan perempuan serta kabaddi.
“Setakat ini tiada masalah melibatkan atlet kita, cuma dua atlet angkat berat iaitu Amirul Hamizan Ibrahim dan Aricco Jumith terpaksa menarik diri kerana cedera.
“Yang lain termasuk Datuk Lee Chong Wei telah mengesahkan akan turun bersaing di China nanti,” kata Zolkples lagi.
Mengenai kem fasa akhir ke Sukan Asia yang diadakan selama empat hari bermula semalam, Zolkples berkata, ia bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan selain memberi motivasi kepada atlet negara supaya memberi yang terbaik apabila turun beraksi kelak.
“Bukan semua atlet menyertai kem kali ini kerana ada yang telah menyertainya ketika kem Sukan Komanwel baru-baru ini dan ada juga beberapa pasukan sedang menjalani latihan di luar negara. “Bagaimanapun, saya harap atlet yang berada di kem ini nanti dapat memupuk semangat setia kawan, kerjasama berpasukan dan mengumpul keyakinan dalam diri untuk menghadiahkan kejayaan kepada negara dalam acara masing-masing,” kata Zolkples lagi.
Kontinjen pertama yang akan berlepas ke Guangzhou, China kali ini ialah skuad bola sepak dan skuad pelayaran iaitu Jumaat ini
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">

0 ulasan:

Spoiler Untuk lihat komentar yang masuk:

Post a Comment

Harian Metro: Arena

Kosmo Online - Sukan

Berita Sukan Online Terkini

 
Copyright © 2011. Berita Sukan Terkini . All Rights Reserved.
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Template modify by Creating Website